SEJARAH ISLAM DI JEPUN
Antara
1877 dan Perang Dunia II
Hubungan Islam dengan Jepun adalah agak baru
berbanding dengan hubungan agama ini dengan negara-negara yang lain di seluruh
dunia.
Tidak terdapat sebarang rekod yang nyata tentang
hubungan-hubungan antara agama Islam dengan Jepun atau sebarang kesan sejarah
tentang Islam di Jepun melalui penyebaran agama, kecuali beberapa hubungan
terpencil antara penduduk-penduduk Jepun dengan orang-orang Muslim dari negara lain sebelum
tahun 1868.
Agama Islam diketahui buat pertama kali oleh
penduduk-penduduk Jepun pada tahun 1877 sebagai sebahagian pemikiran agama barat dan pada sekitar
tahun itu, kehidupan Nabi Muhammad diterjemahkan dalam bahasa Jepun.
Ini membantu agama Islam menempatkan diri dalam pemikiran intelek orang Jepun,
tetapi hanya sebagai satu pengetahuan dan sebahagian sejarah budaya-budaya.
Lagi satu hubungan yang penting dibuat pada tahun 1890 ketika Turki Uthmaniyyah menghantar sebuah kapal
yang digelarkan "Ertugrul" ke Jepun untuk tujuan
memulakan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara serta untuk saling
memperkenalkan orang Muslim dan orang Jepun. Kapal itu yang membawa 609 orang
penumpang dalam pelayaran pulang ke negara mereka tenggelam dengan 540
penumpang mati lemas.
Dua orang Jepun Muslim pertama yang diketahui ialah Mitsutaro
Takaoka taro Takaoka yang memeluk Islam pada tahun 1909 dan mengambil nama Omar
Yamaoka selepas menunaikan haji di Mekah, serta Bumpachiro
Ariga yang pada masa yang lebih kurang sama telah pergi ke India untuk berniaga dan
kemudian memeluk Islam di bawah pengaruh orang-orang Muslim tempatan di sana
serta mengambil nama Ahmad Ariga. Bagaimanapun, kajian-kajian
akhir-akhir ini telah mendedahkan bahawa lagi seorang Jepun yang dikenali
sebagai Torajiro Yamada mungkin merupakan orang Jepun Muslim yang pertama
ketika beliau melawat negara Turki disebabkan kasihan terhadap mereka yang maut dalam nahas kapal Ertugrul. Beliau mengambil
nama Abdul Khalil dan mungkin pergi ke Mekah untuk naik haji.
Bagaimanapun, kehidupan komuniti Muslim yang benar
tidak bermula sehingga ketibaan beratus-ratus pelarian Muslim Turki, Uzbek, Tajik, Kirghiz, Kazakh dan Tatar Turki yang lain dari Asia Tengah
dan Rusia,
ekoran daripada Revolusi Bolshevik semasa Perang Dunia
I. Orang-orang Muslim ini yang diberikan perlindungan di Jepun
menetap di beberapa bandar raya utama di sekitar Jepun dan menubuhkan
komuniti-komuniti Muslim yang kecil. Sebilangan orang Jepun memeluk Islam
melalui hubungan mereka dengan orang-orang Muslim ini.
Dengan pembentukan komuniti-komuniti Muslim yang kecil
ini, beberapa buah masjid
telah dibina. Yang paling penting antaranya ialah Masjid Kobe yang dibina pada
tahun 1935
(masjid ini ialah masjid yang tunggal di Jepun pada hari ini) dan Masjid Tokyo
yang dibina pada tahun 1938.
Bagaimanapun, orang Jepun Muslim tidak mengambil berat tentang pembinaan
masjid-masjid ini dan tidak terdapat sebarang orang Jepun yang pernah menjadi Imam.
Perang
Dunia II dan selepas
Semasa Perang Dunia
II, satu "Ledakan Islam" telah dimulakan oleh kerajaan
tentera di Jepun melalui penubuhan pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat
penyelidikan untuk mengkaji Islam dan Dunia Muslim. Telah dikatakan bahawa pada
tempoh ini, melebihi 100 buah buku dan jurnal mengenai Islam telah diterbitkan
di Jepun. Bagaimanapun, pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan ini
sama sekali tidak dikuasai atau dikelolakan oleh orang-orang Muslim dan
tujuannya bukan untuk penyebaran Islam. Tujuan yang sebenarnya adalah untuk
melengkapkan tentera dengan pengetahuan yang diperlukan mengenai Islam dan
orang Muslim kerana terdapat komuniti-komuniti Muslim yang besar di
kawasan-kawasan yang diduduki oleh angkatan tentera Jepun di negara-negara China dan Asia Tenggara.
Oleh itu, dengan penamatan perang pada tahun 1945,
pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan ini hilang sama sekali
dengan begitu cepat.
Lagi satu "Ledakan Islam" dimulakan, kali
ini selepas krisis minyak 1973. Massa media Jepun telah memberi publisiti
yang besar tentang Dunia Muslim secara amnya, dan khususnya kepada Dunia Arab,
selepas menyedari kepentingan negara-negara ini terhadap ekonomi
Jepun. Dengan publisiti ini, banyak orang Jepun yang tidak mempunyai sebarang
pengetahuan tentang Islam mempunyai peluang untuk menonton Haji di Mekah serta untuk
mendengar panggilan Azan
(panggilan Islam untuk bersembahyang) dan pembacaan al-Quran.
Selain daripada banyak orang Jepun yang memeluk Islam dengan jujur ketika itu,
terdapat juga banyak upacara pengislaman beramai-ramai yang terdiri daripada
berpuluh-puluh ribu orang. Bagaimanapun, selepas kesan kejutan minyak bertamat,
kebanyakan pemeluk Islam meninggalkan agama itu.
Orang-orang Turki merupakan komuniti Muslim yang
terbesar di Jepun sehingga akhir-akhir ini. Jepun sebelum Perang Dunia II amat
dikenali untuk kasihan dan sokongan terhadap orang-orang Muslim di Asia Tengah
dan memperlihatkan mereka sebagai sekutu anti Soviet.
Pada masa itu, sebilangan orang Jepun yang bertugas dalam lingkungan perisikan mempunyai hubungan dengan
orang-orang Muslim itu. Sebilangan perisik Jepun itu kemudian memeluk Islam
melalui hubungan-hubungan ini selepas akhir perang.
Juruterbang-juruterbang Jepun yang pergi ke
negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia
sebagai tentera semasa Perang Dunia II diajar mengungkapkan "La ilaha illa
Allah" ketika pesawat-pesawat mereka ditembak jatuh di kawasan-kawasan ini
supaya mereka tidak dibunuh. Sebuah pesawat Jepun telah dikatakan ditembak
jatuh dan juruterbangnya ditangkap oleh penduduk-penduduk. Apabila juruterbang
itu menjeritkan kata-kata "ajaib" itu, dia berasa hairan ketika
penduduk-penduduk itu mengubahkan sikap-sikap mereka terhadapnya, dan
memperlakukannya dengan baik.
Persatuan
Muslim Jepun
Serangan Jepun terhadap China dan negara-negara Asia
Tenggara semasa Perang Dunia II menghasilkan hubungan-hubungan antara
orang-orang Jepun dengan orang-orang Muslim. Mereka yang memeluk agama Islam
melalui hubungan-hubungan itu kemudian mengasaskan Persatuan Jepun Muslim di
bawah pimpinan Allahyarham Sadiq Imaizumi pada tahun 1953. Persatuan tersebut
ialah pertubuhan Jepun Muslim yang pertama. Bilangan ahlinya sebanyak 65 orang
pada masa penubuhan persatuan ini bertambah dua kali ganda sebelum pemimpinnya
meninggal dunia enam tahun kemudian.
Presiden kedua persatuan ini ialah Allahyarham Umar
Mita. Mita merupakan orang Islam yang tipikal bagi generasi tuanya yang
membelajari Islam di wilayah-wilayah yang diduduki oleh Empayar Jepun.
Beliau bertugas dengan Syarikat Keretapi Manshu yang hampir menguasai semua
kawasan Jepun di wilayah timur laut China ketika itu. Melalui
hubungan-hubungannya dengan orang-orang Cina Muslim, beliau memeluk Islam di Beijing.
Apabila Mita kembali ke Jepun selepas perang, beliau menunaikan haji, dan
merupakan orang Jepun pertama selepas peperangan untuk berbuat demikian. Mita
juga menterjemahkan maksud al-Quran dari sudut pandangan orang Muslim dalam
bahasa Jepun
buat pertama kali.
Oleh itu, hanya selepas Perang Dunia II baru terdapat
sebuah komuniti di Jepun yang benar-benar boleh dipanggil "komuniti Jepun
Muslim". Walaupun kejayaan permulaan agak memuaskan, perkembangan kemudian
dari segi keahlian amat perlahan, dan walaupun terdapat banyak pertubuhan yang
diasaskan sejak masa itu, setiap pertubuhan itu hanya mempunyai beberapa ahli
yang aktif.
Orang
Jepun Muslim
Tidak terdapat anggaran yang boleh dipercayai tentang
bilangan orang Jepun Muslim di Jepun. Tuntutan tiga puluh ribu tidak diragui
merupakan satu tokok tambah. Sesetengah orang mendakwa bahawa bilangannya hanya
dalam beberapa ratus. Ketika ditanya, Abu Bakr Morimoto berjawab,
"Bercakap terus terang, hanya seribu. Dalam pengertiannya yang paling
umum, jika kita memasukkan mereka yang memeluk Islam tetapi tidak mengamalkan
agama ini, umpamanya hanya untuk perkahwinan,
bilangannya mungkin dalam beberapa ribu."
Perkembangan yang sebegini perlahan disebabkan
sebahagiannya oleh keadaan luar. Suasana keagamaan tradisional Jepun dan
kecenderungan yang amat mementingkan kebendaan harus dipertimbangkan. Tetapi
terdapat juga kelemahan dari segi orang-orang Islam Jepun sendiri juga.
Terdapat perbezaan orientasi antara generasi yang tua dengan generasi yang
baru. Bagi generasi yang tua, Islam disamakan dengan agama Malaysia, Indonesia,
China, dan sebagainya. Tetapi bagi generasi baru, negara-negara Asia Tenggara
tidak begitu menarik hati disebabkan orientasi barat mereka dan oleh itu,
mereka lebih dipengaruhi oleh Islam di negara-negara Arab.
"Generasi tua telah hidup dengan rapat dengan
orang-orang Muslim bukan orang Jepun," Nur Ad-Din menegaskan. "Ini
adalah sesuatu yang cemerlang dalam semangat persaudaraan. Tetapi dari segi
yang lain, kita tidak boleh menafikan kesan sampingannya, iaitu, cara hidup ini
tidak boleh mengelakkan orang-orang Jepun yang lain daripada berfikir bahawa
agama Islam ialah sesuatu yang asing. Bagaimana untuk mengatasi rintangan ini
ialah satu masalah yang perlu diatasi. Ini merupakan satu tugas untuk kita,
generasi yang lebih muda."
Ketika melawat negara-negara Muslim, kata-kata bahawa
orang-orang Muslim Jepun adalah kumpulan agama minoriti sering menimbulkan
soalan daripada para hadirin, "Berapakah peratus bilangan orang Muslim di
Jepun?" Jawapan ketika ini: "Satu daripada seratus ribu."
Dakwah
di Jepun
Sejarah Islam di Jepun mendedahkan beberapa gelombang
pemelukan agama yang rawak. Bagaimanapun, kempen-kempen agama baru di Jepun setakat ini tidak
begitu berjaya, termasuk agama Kristian. Statistik menunjukkkan bahawa di sekitar 80% daripada jumlah
penduduk Jepun adalah penganut Budhisme
atau Shintoisme, sedangkan hanya 0.7% merupakan
penganut Kristian. Keputusan tinjauan pendapat terkini
yang dikendalikan oleh sebuah majalah bulanan Jepun membayangkan satu kaveat yang penting. Hanya satu perempat
penduduk-penduduk Jepun mempercayai mana-mana satu agama yang khusus. Ketiadaan
kepercayaan ini adalah lagi ketara bagi pemuda-pemudi Jepun yang berumur 20-an
dengan kadar ateisme
setinggi 85%.
Bilangan pendakwah yang berpotensi dalam komuniti
Muslim di Jepun adalah amat kecil, dan terdiri daripada para pelajar dan
pelbagai jenis pekerja yang bertumpu di bandaraya-bandaraya besar seperti Hiroshima,
Kyoto,
Nagoya,
Osaka
dan Tokyo.
Persatuan-persatuan pelajar Muslim dan sebilangan persatuan tempatan sekali
sekala mengelolakan perkhemahan dan perhimpunan dalam usaha untuk memperbaik
pemahaman ajaran Islam serta untuk mengukuhkan persaudaraan antara orang-orang
Muslim. Bagaimanapun, usaha-usaha mereka jarang diuruskan secara teratur untuk
mengendalikan kegiatan-kegiatan dakwah dengan berkesan.
Terdapat keperluan yang berterusan untuk orang-orang
Muslim bertahan daripada tekanan-tekanan dan godaan-godaan gaya hidup moden
yang lebih ghairah. Orang-orang Muslim juga menghadapi kesusahan terhadap
komunikasi, perumahan, pendidikan kanak-kanak, makanan halal, serta kesusasteraan Islam, dan kesemua ini menghalang
kegiatan-kegiatan dakwah di Jepun.
Tanggungjawab dakwah seringnya dianggap sebagai suatu
kewajipan orang-orang Muslim untuk berkhutbah kepada orang bukan Muslim.
Bagaimanapun, panggilan yang penting untuk islaah dan tajdeed juga merupakan bentuk-bentuk
dakwah yang tersendiri untuk orang-orang Muslim. Usaha untuk pembaikan tahap
pengetahuan Islam dan keadaan-keadaan hidup komuniti Muslim adalah satu bentuk
dakwah pada dirinya yang amat diperlukan di Jepun. Jika sikap-sikap tidak ambil
peduli dan kepasifan penduduk-penduduk Islam di Jepun terhadap
persoalan-persolan jemaah Islam tidak bertukar, komuniti-komuniti Islam di
Jepun menghadapi risiko pelemahan dan penghapusan melalui putar belit
kepercayaan Islam yang akan bertambah teruk. Kemungkinan ini disebabkan oleh
pendedahan yang tetap terhadap pengaruh-pengaruh adat resam dan amalan
tradisional Jepun, seperti membongkokkan badan sebagai bentuk menyambut, serta
penyertaan-penyertaan bersama dalam perayaan-perayaan agama dan lawatan-lawatan
kuil.
Masalah-masalah yang dihadapi oleh orang-orang Muslim
mungkin lebih teruk bagi kanak-kanak Muslim yang, tanpa sebarang tadika atau sekolah
Muslim, merupakan sasaran yang mudah untuk dipengaruhi oleh tabiat-tabiat
budaya dan sosial yang bukan Islam. Ketiadaan institusi-institusi pendidikan
yang bersifat Islam juga dibayangkan oleh fakta bahawa seluruh negara Jepun
hanya mempunyai sebuah masjid yang tunggal. Dengan fadhl dari Allah (S.W.T), masjid itu
telah bertahan daripada gempa bumi yang hampir memusnahkan seluruh
bandar raya Kobe
pada 17 Januari
1995. Terdapat usaha-usaha
yang tetap untuk membina atau mengubah unit-unit perumahan menjadi surau di banyak bandar
raya yang lain.
Tanggapan salah terhadap ajaran Islam yang
diperkenalkan oleh media-media barat perlu dibetulkan dengan cara yang lebih
cekap dan yang mengambil kira ciri penting masyarakat Jepun sebagai salah satu
negara yang paling kenal huruf di dunia. Bagaimanapun, disebabkan
taburan orang Muslim yang amat sedikit, terjemahan maksud-maksud al-Quran dalam
bahasa Jepun juga tidak mudah didapati. Hampir tidak adanya kesusasteraan Islam
di dalam buku-buku kedai atau perpustakaan-perpustakaan
awam, kecuali beberapa esei dan buku dalam bahasa Inggeris yang dijual pada
harga yang agak tinggi.
Oleh itu, tidaklah mengejutkan untuk mendapati bahawa
pengetahuan orang Jepun yang biasa tentang agama Islam hanya dihadkan kepada
beberapa istilah yang berkaitan dengan poligami,
Sunni
dan Shia,
Ramadhan,
Haj, Nabi Muhammad, dan Allah. Dengan kesan-kesan yang semakin terang tentang
kesedaran kewajipan komuniti-komuniti Islam serta penilaian yang rasional
terhadap keupayaan dan batasnya, Ummah Muslim telah menunjukkan tanggungan yang lebih kuat
terhadap pelaksanaan kegiatan-kegiatan dakwah dengan cara yang lebih teratur.
Imej Islam dirosakkan secara teruk oleh pembunuhan Hitoshi Igarashi di Jepun
disebabkan oleh penterjemahan Ayat-ayat Satan (The Satanic Verses)
olehnya, Serangan 11 September 2001, dan pengeboman bunuh diri di Palestin,
Israel,
Bali, Iraq, dan Jordan yang
dilakukan di atas nama Islam. Imej Islam juga dirosakkan lagi oleh tanggapan
ketakstabilan politik
di dunia Arab.
No comments:
Post a Comment